Setiap dari kita pasti pernah melakukan kesilapan atau dosa. Namun adakah kita sedar dan menyesali serta bertaubat akan kesilapan atau dosa kita itu? Ingatlah ”Segala yang baik adalah dari ALLAH swt dan segala yang buruk itu adalah dari diri kita sendiri yang terpengaruh dengan hasutan syaitan!
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.”(Ibn Mas’ud r.a)
Banyak sangat perkara yang mempunyai hasutan syaitan, dan ada di antara kita melakukan perintah syaitan bukannya perintah ALLAH s.w.t. Apakah yang kita lakukan?
(i) Bertelagah / mengeluarkan kata-kata yang tidak baik dan menyebabkan pergaduhan serta tergurisnya hati insan lain.
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik; sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (Surah Al-Israa ayat ke 53)
(ii) Memakan makanan atau meminum minuman yang tidak halalkan oleh Allah swt.
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”(Surah Al-Baqarah ayat ke 168)
(iii) Mengamalkan Riba’.
“Orang yang memakan riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya jual beli itu sama saja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Maka sesiapa yang telah sampai peringatan dari Tuhannya lalu ia berhenti, maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (mengambil riba) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah ayat ke 275)
(iv) Memiliki sikap penakut dalam melakukan perkara kebaikan.
“Sesungguhnya (pembawa berita) itu ialah syaitan, yang menakut-nakutkan pengikut-pengikutnya (kaum musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takutkan mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang yang beriman.”(Surah Ali imran Ayat ke 175)
(v) Menyembah berhala, mengubah ciptaan ALLAH swt.
“Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala, dan mereka tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka. Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang berkata: Demi sesunggguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hamba-Mu, bahagian yang tertentu; Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita’ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”
(Surah An-Nisaa ayat ke 117 hingga 119)
Jika kita pernah melakukan kesilapan atau perkara-perkara yang dihasut oleh syaitan, berubahlah serta bertaubatlah kerana ALLAH swt MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan